KUANTAN: Polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah jenis jus minuman di pusat hiburan sekitar Kuantan susulan penahanan seorang lelaki dalam serbuan di dua lokasi berbeza di sini hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata suspek berumur 42 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dalam operasi kira-kira 12.10 tengah malam.

Beliau berkata hasil serbuan itu polis turut merampas 50 cawan jus minuman dan 75 kotak jus minuman pelbagai perisa berisi bahan campuran disyaki dadah, masing-masing berjumlah 5.27 kilogram dan 17.9 liter, yang dianggarkan bernilai RM35,300.

"Ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan suspek juga mempunyai tujuh rekod lampau bagi kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika disabitkan kesalahan.

-- BERNAMA